Sport

Pageviews

News World

Powered by Blogger.

Popular Posts

Blogroll

Blogger templates

Blogger news

Recent Comments

SEJARAH ISLAM DI CHINA

MAM YUNUS YANG sedang memeberi ceramah kepada para jemaah di majlis sembahyang sunat Aidilfitri, baru-baru ini.

HUBUNGAN antara China dan dunia Arab boleh dikesan seawal sebelum kurun pertama. Menurut rekod-rekod sejarah di China, Zhang Qian ialah seorang utusan khas Dinasti Han (206 Sebelum Masehi-220 Masehi) yang telah sampai ke negara Arab dengan sebuah karavan. Pada masa itu, negara Arab dipanggil ''Da Shi'' oleh orang Cina.

Lama kelamaan, hubungan sedemikian antara China dan Arab, ketika Islam muncul dan berkembang di Arab, berterusan pantas mencapai satu lagi tahap bersejarah sementara China tiba ke kemuncak tamadunnya dengan kemajuan dalam bidang ukiran, puisi, kerja logam dan kesusasteraan yang subur berkembang dalam zaman pemerintahan Dinasti Tang (618-908 Masihi).

Disebabkan ketiadaan bukti, tidak ada tarikh tepat yang dapat dinyatakan bila agama Islam tiba di China sungguhpun ada spekulasi bahawa Islam sampai ke China semasa zaman Rasulullah (613, 614 Masihi).

Bagaimanapun, satu rekod rasmi yang paling dipercayai ialah Buku Dinasti Tang Lama yang menceritakan bahawa utusan yang dihantar oleh Khalifah Usman (zaman Khalifah 644-656) membuat lawatan rasmi terhadap Tang GaoZu (raja Dinasti Tang).

Semenjak itu, persahabatan antara China dan negara-negara Islam dikembangkan oleh para utusan semasa lawatan-lawatan berkala.

Satu kejadian semasa Dinasti Tang - Pemberontakan An Si - menjadi satu kejayaan besar dalam sejarah meluaskan perkembangan Islam. Pada tahun 755 Masihi, kumpulan pemberontak An Si menawan banyak bandar besar di China. Tang Xuan Zun (raja) dipaksa bersara dan melarikan diri ke wilayah Sichuan. Anak lelakinya dilantik sebagai raja baru (Tang Xuzun) dan tidak lama selepas itu, raja baru berkenaan memohon tentera berkuda yang kuat dari negara-negara Islam yang berjiran dengannnya di Asia Tengah untuk campur tangan tentera.

Akhirnya, tentera Kerajaan China yang bersekutu dengan tentera berkuda Islam, menghancurkan pemberontakan itu dan Tang Xuzun (Raja Baru) kembali ke ibu negara, Xian. Dengan itu, raja tersebut amat menghargai bantuan orang Islam, dan daripada kembali ke negara masing-masing, dia membenarkan tentera Islam tinggal di sebuah daerah (Fang) di ibu negara itu dan perkahwinan campur dengan wanita China juga dibenarkan.

Dinasti Tang (618-908) dan Dinasti Song (960-1279) merupakan tempoh aman dan kreatif. Hubungan dagang antara Arab dan China semakin kuat. Bukti perdagangan ini dengan pedagang Arab dan Parsi di bandar-bandar besar boleh ditemui dalam buku-buku kesusasteraan dan sejarah mengenai zaman itu.

Pedagang-pedagang Arab membina sebuah masjid di Guang Zhou di selatan China dan beberapa buah masjid lain dibina oleh kerajaan. Sebahagian nama masjid itu diberikan oleh maharaja yang memerintah China pada masa itu. Masjid yang namanya diberi oleh maharaja mempunyai signifikasi besar kepada minoriti Islam, kerana pengiktirafan dan penghargaan sedemikian daripada pihak berkuasa tertinggi sesungguhnya merupakan sesuatu yang luar biasa.

Semasa Dinasti Yuan (1279-1368), China diperintah oleh kerajaan Mongol dengan Kublai Khan menduduki takhtanya di Beijing pada 1293. Kerajaan Yuan melaksanakan satu dasar yang memihak kepada penduduk etnik Islam. Orang Islam menikmati status sosiopolitik yang tinggi semasa dinasti ini kerana mereka termasuk dalam kategori minoriti bersama dengan orang Mongol.

Sebaliknya, pada tahun 1253 selepas menawan Baghdad, orang Mongol menjadikan askar Arab dan Parsi sebagai askar kerahan mereka dan menghantar askar-askar itu ke China. Askar Arab dan Parsi ini kemudiannya kekal menetap di beberapa tempat di China dan berkahwin dengan penduduk di situ. Seorang Islam terkenal yang berkhidmat sebagai pegawai berpangkat tinggi ialah Saidian Chi Zansi Al Din, seorang jeneral di wilayah Yunan di China.

Satu pepatah Cina ''Hui Hui (orang Islam) berada di merata-rata negara China semasa Dinasti Yuan'' mungkin boleh dijadikan gambaran terbaik mengenai penyebaran orang Islam dalam tempoh itu.

Pada 1368, orang Mongol disingkirkan ekoran penubuhan Dinasti Ming (1368-1644). Bagaimanapun, orang Islam terus aktif dalam bidang sosiopolitik. Pelayar Islam teragung, Zhen He juga hidup dalam zaman ini.

Penganut Islam veteran khususnya Jeneral Chang Yu Chun dan Hu Da Hei mendedikasi sebahagian besar hidup mereka untuk mewujudkan Empayar Ming.

Sehubungan itu, pada awal pembentukan Empayar Ming (1368), rajanya begitu menghargai pencapaian orang Islam dan kepercayaan mereka. Sebagai tanda penghargaan, beberapa buah masjid telah dibina oleh pihak berkuasa Ming. Malah Maharaja Ming sendiri telah menulis pengenalan mengenai Islam dalam artikel terkenal 100 perkataan yang digunakan untuk memuji Nabi yang disebar luas di kalangan orang Islam.

Dalam pada itu, hubungan perdagangan antara China dan dunia Arab semakin teguh ekoran para pedagang yang berulang alik menggunakan Jalan Sutera. Banyak juga pedagang Arab yang membuka kedai-kedai mereka di bandar-bandar besar di China. Kegiatan mereka ini digambarkan dalam buku-buku kesusasteraan pada zaman itu. China berkembang semula dalam tempoh 272 tahun pemerintahan Dinasti Ming.

Kejayaan orang Islam mencapai kemuncaknya selepas tujuh pelayaran Zhen He.

Zhen He (1371-1435) juga dikenali sebagai Ma Sanbao (nama biasa orang Cina Muslim) dan dilahirkan dalam sebuah keluarga Islam yang terpelajar. Datuk dan bapanya telah menunaikan haji sewaktu dia masih kecil.

Pada 1405, Maharaja Ming memulakan pelayaran antarabangsa untuk meningkatkan hubungan dengan negara-negara lain selepas Dinasti Ming telah sampai ke kemuncak kemakmuran komersial di sekitar China. Maharaja Ming memilih menteri kanannya, Zhen He untuk memenuhi cita-citanya.

Zhen He mengetuai armada terbesar di dunia pada ketika itu bersama Imam Ha San, para doktor dan kelasi (berjumlah 2,700 orang) yang belayar ke Asia Tenggara dan negara-negara Arab untuk lawatan muhibah.

Pada 1430, dia sekali lagi belayar dan tiba ke Laut Merah, mengunjungi Afrika Utara dan rombongannya yang terdiri daripada tujuh orang pegawai Islam turut menunaikan haji dan membawa lakaran rumah suci Kaabah di Mekah pulang ke China.

Pelayaran Zhen He sebanyak tujuh kali ke tenggara Pasifik telah mengukuhkan hubungan antara China dan negara-negara di Asia Tenggara, Afrika Utara dan Arab. Hasil pelayaran Zhen He, lebih 30 orang raja, sultan dan utusan khas telah berkunjung ke China. Zhen He meninggalkan banyak pengaruh sejarah dan namanya masih dikenang di negara-negara Asia Tenggara dan di negara China sehingga ke hari ini.

Dari Dinasti Ming (1368-1644) sehingga ke tempoh awal Dinasti Qing (1644-1911), pemikiran Islam berkembang bersama-sama jumlah penduduk Islam yang semakin bertambah.

Empat ahli falsafah terkemuka.

Wang Daixing (1584-1670), beliau membangunkan teori menegakkan Islam berbanding kebudayaan Cina. Dia begitu arif dalam pengetahuan klasik Cina dan dia menggunakannya untuk menerapkan nilai-nilai Islam selari dengan persekitaran Cina. Pemikirannya mempunyai gambaran pengaruh yang besar di kalangan masyarakat Islam sepanjang zaman.

Buku karyanya yang terkenal ialah Penjelasan Benar Mengenai Agama Sebenar (Islam) dan Pengajian Tinggi Qing Zhen (Islam)'.

Yusuf Ma Zhu (1640-1711),beliau dilahirkan di wilayah Yunan. Karyanya yang penting ialah Arah Islam yang bersangkut dengan sejarah, falsafah dan undang-undang Islam serta menekankan kefahaman Islam secara mengenali sifat-sifat Pencipta - Allah sebagai sumber asas semua pengetahuan.

Beliau juga membayangkan bahawa pelaksanaan prinsip Islam adalah satu langkah penting untuk mengubati penyakit sosial dan mengekalkan keadilan dan kemakmuran dalam masyarakat.

Liu Zhi (1665-1745), cendekiawan terkenal ini dilahirkan di Nanjing dan pengetahuan mendalamnya tentang Islam mendapat sanjungan tinggi di kalangan masyarat Islam dan juga bukan Islam China.

Karya akademiknya yang penting ialah Tian Fang Jian Li (Etika dalam Islam), satu-satunya buku karya Cina Muslim yang telah dihimpunkan dalam ensiklopedia yang paling dipercayai dan diluluskan kerajaan, Si Ku Quan Shu, semasa pemerintahan Dinasti Qing. Ini boleh dianggap satu pengiktirafan para cendekiawan tradisi Cina atas kejayaannya yang mengagumkan dalam memahami sifat manusia dari perspektif Islam.

Yusuf Ma Dexin (1794-1874), Beliau pula terkenal kerana kefasihan dan pengetahuannya dalam kedua-dua bahasa Arab dan Parsi serta pengetahuan mendalamnya mengenai Islam. Beliau menterjemahkan kitab suci al-Quran. Beliau juga menulis banyak buku Islam dalam bahasa Arab dan Parsi.

Pada 1841, beliau menunaikan haji dan tinggal di negara Arab selama lapan tahun. Malangnya, pada usia 80 tahun, beliau dibunuh oleh rejim Qing kerana penglibatannya dengan pemberontakan orang Islam Yunnan (1862-1872) di China.

Karya akademiknya yang terkemuka ialah Kitab Ajaran Suci yang merupakan sebahagian terjemahan awal al-Quran, Nawahu dan Saierfu yang merupakan buku teks tata bahasa Arab, Gambaran Sejagat Huan Yu Shu Yao yang mengandungi pengetahuan mengenai kalendar Islam dan kandungan lain.

* Yusuf Lin Baojun ialah warganegara China beragama Islam berasal dari Lan Zhou, Gansu, China. Beliau kini menuntut di Universiti Islam Antarabangasa, Kuala Lumpur.

Oleh: YUSUF LIN BAOJUN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz2Zl1SMmkU
© Utusan Melayu (M) Bhd

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment